Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan oleh ramai
cendikiawan muslim, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi
rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan
akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti
firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku
maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak
melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak
menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu
Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba
di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya
lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala
kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah
yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan
al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa.
Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi
s.a.w.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang
dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa
lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati
Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan
agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti
kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga
bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan
Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani
dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada
kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Riwayat
al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah
menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir
miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana
orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki
dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang
menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat
Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau
cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,
kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya
semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi
cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk
yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati,
melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti
harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan
rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi
sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta
pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.
Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas)
nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid
al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka
pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair,
ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh
Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang
membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya.
Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat
ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan
memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang
dan doanya dimakbulkan Allah.
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk
dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman
Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas
mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti
akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan
Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari
Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika
kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya
jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya
lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali
Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain
menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus
untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129)
jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan
boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan
dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya
dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah
hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah
ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap
malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung
dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh
kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu
hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya
dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang
boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang
dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim
lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak
dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat
dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya
dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah
mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada
Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung
diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat
Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab
r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang
membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam
ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi
hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Jagalah hati...
Wassalam =)
- Sumber: http://syedroslanjaafar.blogspot.com -