Bersaksilah kita atas kebenaran jangan diikut nafsu syaitan!
Sesungguhnya syaitan adalah punca segala kesesatan!!!
SAYA sebenarnya sudah malas untuk menulis dalam akhbar
Utusan/Mingguan Malaysia. Keluar sahaja artikel, saya terus diserang. Tetapi
bila akhbar ini diserang sedemikian rupa oleh ultra kiasu, malas atau tidak
terpaksalah juga saya tampil, bukan membela tetapi berkata benar.
Isu bukan Melayu sebagai Perdana Menteri bukan hari ini
dibangkitkan oleh parti ultra kiasu. Tetapi sejak dahulu lagi. Cuba pembaca
buat kajian kenyataan demi kenyataan parti anti Melayu dan anti Islam ini sejak
dahulu lagi.
Bermula daripada ucapan-ucapan mereka dalam kempen pilihan
raya umum (PRU) 1969, sehingga berlangsungnya PRU 1969 pada 10 Mei, diikuti
perarakan kemenangan ultra kiasu di Kuala Lumpur 12 Mei, seterusnya membawa
tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas itu.
Saya tidak ingin mengungkap lagi apa yang telah berlaku.
Biarkan sejarah berlalu. Tetapi provokasi mereka amat melampau. Saya menyeru
kepada semua pembaca meluangkan masa membaca buku sejarah Peristiwa 13 Mei 1969
dalam pelbagai versi. Antaranya tulisan Goh Cheng Teik (1971), Leon Comber
(1985), Tunku Abdul Rahman (2007) dan lain-lain lagi.
Kata-kata seperti "Melayu sudah jatuh",
"Kuala Lumpur sekarang Cina punya", "Ini negeri bukan Melayu
punya", "kita mahu halau orang Melayu" dan kata-kata seumpama
itu adalah perkara biasa yang sering diulang-ulang sesama mereka hari ini. Saya
bukan mahu mengapi-apikan. Tetapi inilah bukti bagaimana sikap ultra kiasu
tidak pernah berubah.
Pada saya yang baik itu, baiklah. Perlu disokong. Namun,
bila tiba bahagian mungkar, maka perlu ditolak.
Hari ini mereka nampak lembut terhadap Islam dan Melayu
sebab mereka inginkan kuasa. Apabila kuasa diperolehi nanti, rasalah akibatnya.
Maklumlah mereka bukan sahaja mendapat sokongan dalaman, tetapi luaran terutama
pulau kecil di selatan tanah air yang sentiasa mengikuti perkembangan politik
di negara kita.
Menunggu masa sahaja untuk bertindak. Apakah kita masih
buta? Pemimpin-pemimpin mereka selalu berulang alik ke sana mencari dan memberi
maklumat.
Ultra kiasu anak beranak itu cuba mempertahankan
pengerusinya dengan merujuk kepada Perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan
Perdana Menteri terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Namun, katanya,
berdasarkan realiti politik selama ini, perdana menteri Malaysia akan tetap
seorang Melayu.
Ya, saya tidak nafikan, tetapi jagalah adab-adab bila
berbicara. Tidakkah kita tinggal di negara sebelah timur. Bila bercakap,
berlapik kerana ini menyentuh sensitiviti orang lain.
Sama seperti isu perkataan 'pendatang'. Perkataan ini amat
sensitif. Kenapa tidak ada lagi orang Melayu yang bercakap menggunakan
perkataan ini? Kerana ingin menjaga hati orang lain. Inilah adab-adab yang
perlu kita belajar.
Saya cadangkan parti ultra kiasu ini menganjurkan kursus
kepada ahli-ahlinya. Kalaupun tidak ramai boleh berbahasa Melayu atau masih
gagap, sekurang-kurangnya belajar menjaga sensitiviti kaum lain, terutama
bangsa majoriti.
Isu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri amat sensitif
kepada Melayu kerana ini adalah tanah air tumpah darah mereka kerana setiap
bangsa ada tempat tumpah darahnya. Apakah kita masih tidak sedar?
Kecualilah kalau kita masih terpengaruh dengan pemimpin
ultra kiasu Singapura itu. Beliau pernah berkata: Mengikut sejarah katanya,
orang Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang kecil, cuma
kira-kira 700 tahun yang lalu. Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia
hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka ialah pendatang-pendatang baru
seperti Setiausaha Agung UMNO, Datuk Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke
Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30
tahun.
"Dari itu, adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu
kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa mereka adalah lebih adil dipanggil
rakyat Malaysia, dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan
kegemaran mereka."
Utra kiasu itu berkata lagi, beliau dapat menyusun-galur
nenek moyangnya sehingga 100 tahun di Singapura. Beliau menolak pendapat bahawa
orang Melayu adalah Bumiputera Gugusan Pulau-Pulau Melayu (Lee Kuan Yew, 1965;
Flether, 1969).
Saya yakin ramai ultra kiasu masih terpengaruh dengan
kata-kata ultra kiasu itu. Saya tidak nampak Utusan Malaysia bersikap tidak
beretika dan tidak bertanggungjawab dalam melaporkan berita. Utusan tidak boleh
asyik nak mengalah sahaja di kala orang lain terus menyerang. Mereka juga harus
bertindak seperti akhbar Rocket, Suara Keadilan dan Harakah.
Pemimpin ultra kiasu berkata, "Apabila DAP muncul di
muka depan Utusan, ia pasti berita buruk/ masalah politik kerana ia gaya putar
belit mereka." Persoalan saya, apakah UMNO atau Barisan Nasional mendapat
liputan yang baik di muka hadapan akhbar-akhbar mereka? Tidak juga. Jadi,
sebenarnya, mengata orang dia yang lebih.
Saya berpegang kepada prinsip, "kita tidak akan
menyerang jika tidak diserang. Tetapi kita tidak akan menyerang, tanpa tentangan".
Menurut ultra kiasu itu, Utusan sengaja mencipta "isu
yang tidak wujud" demi kepentingan politik dan berkempen menakut-nakutkan
orang ramai, seperti "fitnah" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad bahawa jika UMNO tumpas, Melayu akan hilang kuasa politik.
Pada saya, bukti sudah jelas di depan mata, apa yang terjadi
kepada Melayu di Singapura apabila ultra kiasu memegang kuasa. Terbelakah orang
Melayu? Ada atau tidak, Melayu menjadi presiden Singapura selepas itu? Begitu
juga kedudukan Melayu dalam jawatan berkaitan strategik dan keselamatan seperti
perkhidmatan polis, tentera, pilot, imigresen dan sebagainya. Janganlah buat
tidak tahu. Perancangan ultra kiasu sudah termaktub dalam sejarah.
Lepas ini mungkin ada yang berkata dalam blog saya, ada yang
terasa nak murtad apabila membaca pandangan saya. Saya tidak boleh berbuat
apa-apa. Saya hanya berkata benar. Jika ada yang mahu murtad disebabkan
pandangan dan hak saya untuk bersuara, saya serahkan kepada Allah SWT. Tetapi
saya tidak boleh berdiam diri melihat sahaja perancangan jahat orang lain.
Kenyataan balas pengerusi ultra kiasu dibuat semata-mata
strategi untuk menarik orang Melayu menyertai mereka setelah Tunku Abdul Aziz
keluar parti.
Kepada orang Melayu berada dan yang menyertai parti ultra
kiasu ini, insaflah. Banyak lagi parti lain yang matlamatnya lebih jelas
daripada parti ini.
Pada saya, jika benar pun dari segi undang-undang, tidak
perlu bercakap, kerana ia menyakitkan orang lain. Apakah mungkin Singapura
berperdana menteri Melayu walaupun perlembagaan negara tersebut tidak
menetapkan bangsa Cina sahaja yang akan menjadi perdana menteri? Apakah peluang
tersebut akan diberikan kepada Melayu? Jauh panggang dari api.
Saya bukan membela Utusan atau membela UMNO. Ada beberapa
perkara yang saya tidak boleh bersetuju. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh
biarkan sahaja mereka diserang.
Yang baik, sokonglah, yang salah, saya tolak. Tetapi ultra
kiasu ini tidak sedemikian, termasuk ultra kiasu Melayu, buat baik - salah,
buat jahat - lagi salah. Semua jadi serba salah. Inikah ciri orang bertamadun?
TULISAN PROF DR MOHD REDWAN TEE ABDULLAH