Monday, December 31, 2012

~*Welcome 2013*~








Friday, November 9, 2012

~*Ultra Kiasu*~


Bersaksilah kita atas kebenaran jangan diikut nafsu syaitan! Sesungguhnya syaitan adalah punca segala kesesatan!!!

SAYA sebenarnya sudah malas untuk menulis dalam akhbar Utusan/Mingguan Malaysia. Keluar sahaja artikel, saya terus diserang. Tetapi bila akhbar ini diserang sedemikian rupa oleh ultra kiasu, malas atau tidak terpaksalah juga saya tampil, bukan membela tetapi berkata benar.

Isu bukan Melayu sebagai Perdana Menteri bukan hari ini dibangkitkan oleh parti ultra kiasu. Tetapi sejak dahulu lagi. Cuba pembaca buat kajian kenyataan demi kenyataan parti anti Melayu dan anti Islam ini sejak dahulu lagi.

Bermula daripada ucapan-ucapan mereka dalam kempen pilihan raya umum (PRU) 1969, sehingga berlangsungnya PRU 1969 pada 10 Mei, diikuti perarakan kemenangan ultra kiasu di Kuala Lumpur 12 Mei, seterusnya membawa tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas itu.

Saya tidak ingin mengungkap lagi apa yang telah berlaku. Biarkan sejarah berlalu. Tetapi provokasi mereka amat melampau. Saya menyeru kepada semua pembaca meluangkan masa membaca buku sejarah Peristiwa 13 Mei 1969 dalam pelbagai versi. Antaranya tulisan Goh Cheng Teik (1971), Leon Comber (1985), Tunku Abdul Rahman (2007) dan lain-lain lagi.

Kata-kata seperti "Melayu sudah jatuh", "Kuala Lumpur sekarang Cina punya", "Ini negeri bukan Melayu punya", "kita mahu halau orang Melayu" dan kata-kata seumpama itu adalah perkara biasa yang sering diulang-ulang sesama mereka hari ini. Saya bukan mahu mengapi-apikan. Tetapi inilah bukti bagaimana sikap ultra kiasu tidak pernah berubah.

Pada saya yang baik itu, baiklah. Perlu disokong. Namun, bila tiba bahagian mungkar, maka perlu ditolak.
Hari ini mereka nampak lembut terhadap Islam dan Melayu sebab mereka inginkan kuasa. Apabila kuasa diperolehi nanti, rasalah akibatnya. Maklumlah mereka bukan sahaja mendapat sokongan dalaman, tetapi luaran terutama pulau kecil di selatan tanah air yang sentiasa mengikuti perkembangan politik di negara kita.

Menunggu masa sahaja untuk bertindak. Apakah kita masih buta? Pemimpin-pemimpin mereka selalu berulang alik ke sana mencari dan memberi maklumat.

Ultra kiasu anak beranak itu cuba mempertahankan pengerusinya dengan merujuk kepada Perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Namun, katanya, berdasarkan realiti politik selama ini, perdana menteri Malaysia akan tetap seorang Melayu.

Ya, saya tidak nafikan, tetapi jagalah adab-adab bila berbicara. Tidakkah kita tinggal di negara sebelah timur. Bila bercakap, berlapik kerana ini menyentuh sensitiviti orang lain.

Sama seperti isu perkataan 'pendatang'. Perkataan ini amat sensitif. Kenapa tidak ada lagi orang Melayu yang bercakap menggunakan perkataan ini? Kerana ingin menjaga hati orang lain. Inilah adab-adab yang perlu kita belajar.

Saya cadangkan parti ultra kiasu ini menganjurkan kursus kepada ahli-ahlinya. Kalaupun tidak ramai boleh berbahasa Melayu atau masih gagap, sekurang-kurangnya belajar menjaga sensitiviti kaum lain, terutama bangsa majoriti.

Isu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri amat sensitif kepada Melayu kerana ini adalah tanah air tumpah darah mereka kerana setiap bangsa ada tempat tumpah darahnya. Apakah kita masih tidak sedar?

Kecualilah kalau kita masih terpengaruh dengan pemimpin ultra kiasu Singapura itu. Beliau pernah berkata: Mengikut sejarah katanya, orang Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang kecil, cuma kira-kira 700 tahun yang lalu. Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka ialah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha Agung UMNO, Datuk Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun.

"Dari itu, adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa mereka adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia, dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka."

Utra kiasu itu berkata lagi, beliau dapat menyusun-galur nenek moyangnya sehingga 100 tahun di Singapura. Beliau menolak pendapat bahawa orang Melayu adalah Bumiputera Gugusan Pulau-Pulau Melayu (Lee Kuan Yew, 1965; Flether, 1969).

Saya yakin ramai ultra kiasu masih terpengaruh dengan kata-kata ultra kiasu itu. Saya tidak nampak Utusan Malaysia bersikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dalam melaporkan berita. Utusan tidak boleh asyik nak mengalah sahaja di kala orang lain terus menyerang. Mereka juga harus bertindak seperti akhbar Rocket, Suara Keadilan dan Harakah.

Pemimpin ultra kiasu berkata, "Apabila DAP muncul di muka depan Utusan, ia pasti berita buruk/ masalah politik kerana ia gaya putar belit mereka." Persoalan saya, apakah UMNO atau Barisan Nasional mendapat liputan yang baik di muka hadapan akhbar-akhbar mereka? Tidak juga. Jadi, sebenarnya, mengata orang dia yang lebih.

Saya berpegang kepada prinsip, "kita tidak akan menyerang jika tidak diserang. Tetapi kita tidak akan menyerang, tanpa tentangan".

Menurut ultra kiasu itu, Utusan sengaja mencipta "isu yang tidak wujud" demi kepentingan politik dan berkempen menakut-nakutkan orang ramai, seperti "fitnah" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika UMNO tumpas, Melayu akan hilang kuasa politik.

Pada saya, bukti sudah jelas di depan mata, apa yang terjadi kepada Melayu di Singapura apabila ultra kiasu memegang kuasa. Terbelakah orang Melayu? Ada atau tidak, Melayu menjadi presiden Singapura selepas itu? Begitu juga kedudukan Melayu dalam jawatan berkaitan strategik dan keselamatan seperti perkhidmatan polis, tentera, pilot, imigresen dan sebagainya. Janganlah buat tidak tahu. Perancangan ultra kiasu sudah termaktub dalam sejarah.

Lepas ini mungkin ada yang berkata dalam blog saya, ada yang terasa nak murtad apabila membaca pandangan saya. Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya berkata benar. Jika ada yang mahu murtad disebabkan pandangan dan hak saya untuk bersuara, saya serahkan kepada Allah SWT. Tetapi saya tidak boleh berdiam diri melihat sahaja perancangan jahat orang lain.

Kenyataan balas pengerusi ultra kiasu dibuat semata-mata strategi untuk menarik orang Melayu menyertai mereka setelah Tunku Abdul Aziz keluar parti.

Kepada orang Melayu berada dan yang menyertai parti ultra kiasu ini, insaflah. Banyak lagi parti lain yang matlamatnya lebih jelas daripada parti ini.

Pada saya, jika benar pun dari segi undang-undang, tidak perlu bercakap, kerana ia menyakitkan orang lain. Apakah mungkin Singapura berperdana menteri Melayu walaupun perlembagaan negara tersebut tidak menetapkan bangsa Cina sahaja yang akan menjadi perdana menteri? Apakah peluang tersebut akan diberikan kepada Melayu? Jauh panggang dari api.

Saya bukan membela Utusan atau membela UMNO. Ada beberapa perkara yang saya tidak boleh bersetuju. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh biarkan sahaja mereka diserang.

Yang baik, sokonglah, yang salah, saya tolak. Tetapi ultra kiasu ini tidak sedemikian, termasuk ultra kiasu Melayu, buat baik - salah, buat jahat - lagi salah. Semua jadi serba salah. Inikah ciri orang bertamadun?

TULISAN PROF DR MOHD REDWAN TEE ABDULLAH

Friday, October 5, 2012

~*Amalan Murah Rezeki*~




Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan oleh ramai cendikiawan muslim, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:


1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Jagalah hati...

Wassalam =)

Elegant Rose - Double Heart