Mendidik anak bukan bermula selepas anak itu lahir, bahkan
lebih awal lagi. Perancangan dalam mendidik anak mesti bermula seawal mencari
jodoh. Sebelum seseorang jejaka membuat keputusan tentang pasangan hidupnya, dia
perlu ingat bahawa pasangan itu adalah bakal ibu kepada anaknya.
Wanita itu bukan hanya untuk dirinya sebagai seorang isteri,
bahkan juga untuk anak-anaknya sebagai seorang ibu. Oleh yang demikian, menjadi
tanggungjawab setiap lelaki agar memilih ibu yang tepat untuk anak-anaknya.
Memilih ibu membawa maksud mencari jodoh isteri yang
beriman, bertakwa dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu solehah.
Untuk memenuhi tuntutan ini pemilihan isteri yang tepat perlu sejajar dengan
penetapan yang dianjurkan oleh Islam. Ini amat penting bagi mencapai target ibu
mithali yang menjadi hadiah kehadiran buat anak-anak yang akan dilahirkan ke
dunia.
Pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi
seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka
anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya
serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya. Tiba-tiba si anak
pun bertanya kepada Umar katanya: "Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada
mempunyai hak-hak atas ayahnya?"
Jawab Umar: "Bahkan ada!" Berkata si anak, "Apa dia, wahai
Amirul Mukminin?" Berkata Umar: "Memilih ibu yang baik, memberikan nama yang baik
serta mengajarnya membaca Al-Quran." Berkata si anak: "Wahai Amirul Mukminin
sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu
saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama
Khunfusak (bermaksud 'lipas') dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf
pun dari Al-Quran". Lalu Umar berkata kepada ayahnya: "Jika demikian, kamu telah
derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepada mu".
Teguran Umar itu bertepatan dengan hadis daripada Abu
Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda "Seseorang wanita
dinikahi kerana empat sebab: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan
kerana agamanya. Maka hendaklah engkau mengutamakan yang beragama, itulah
pilihan yang terbaik."
Baginda saw menegaskan betapa pentingnya wanita yang
mempunyai asas agama yang mantap dan amalan-amalan yang kuat yang mampu
membentuk dirinya sebagai srikandi mulia dalam sesebuah institusi keluarga.
Agama diiktifar sebagai kriteria tertinggi berbanding rupa paras, kekayaan dan
darjat. Agama inilah yang dapat menjamin kemampuan si ibu untuk mendidik anak.
Pemilihan ibu yang tepat untuk si anak ini tentunya timbul
atas kesedaran untuk menjadikan perkahwinan sebagai saham akhirat. Ini kerana
pelayaran sebuah perkahwinan bukanlah seperti melepaskan batuk di tangga atau
semudah menyuapkan makanan ke mulut tanpa berfikir himpitan mahupun kekangan
yang akan ditempuhi. Perkahwinan yang dianjurkan Islam perlulah berkemudi
hingga ke pelabuhan dan hasilnya dapat dinikmati di akhirat kelak.
Perkahwinan beginilah yang mampu membuahkan anak-anak yang
soleh dan solehah. Lihat sahaja perkahwinan yang Rasulullah dengan isterinya
yang tercinta Ummul Mikminin Saidatina Khadijah. Kebahgiaan yang dibina atas
jihad kepada Islam ini mendamaikan dua hati yang diketemukan walaupun
bertingkah jurang dari segi umurnya. Hasilnya zuriat yang lahir dididik dengan
sempurna, menjadi tokoh ummah yang dikenang sepanjang zaman.
Ibu adalah manusia yang paling dekat dengan si anak. Ibu
yang beriman dan bertaqwa akan melahirkan waris-waris yang beriman dan bertaqwa
kepada Allah. Contohilah Khunsa', srikandi Islam yang berjaya dan mentarbiyah
anaknya seramai tiga orang.
Ketika anak pertamanya mati syahid beliau masih tersenyum
kerana masih ada anak yang kedua syahid yang kedua yang diharapkan akan gugur
sebagai syuhada. Kejayaan Khunsa' menanam semanagt jihad pada jiwa anak-anaknya
merupakan hasil daripada jiwa besar seseorang wanita yang akrab dan intim
dengan ilmu-ilmu Islam dan amalannya.
Tidak salah mencari pasangan yang menawan, kaya dan
berdarjat. Lagi lengkap pakej kesempurnaan, lagi baik. Asalkan krieteria utama
iaitu beragama tidak dicicirkan. Seorang anak tidak boleh dididik dengan wang
ringgit atau kekayaan si ibu. Si ibu yang cantik bukan jaminan bahawa dia mampu
mendidik anak dengan baik.
Begitu juga darjat dan keturunan bukanlah penyebab yang
dapat membentuk personaliti soleh dan solehah anak. Tetapi yang pasti, agama si
ibu adalah satu jaminan ke arah kesempurnaan didikan anak. Ibu yang berakhlak,
berilmu, taqwa, kuat beribadah secara adatnya mampu membimbing anak ke jalan
bahagia.
Sekurang-kurangnya percikan akhlak solehah si ibu mampu
mendorong si anak secara lisanul hal. Atau setidak-tidaknya doa si ibu yang
luhur peribadi ini mampu menggamit hidayah, rahmat dan keampunan Allah buat si
anak.
Malang sekali masyarakat hari ini tidak mengambilkira soal
pemilihan ibu untuk si anak. Mereka melihat perkahwinan ini dari sudut kepuasan
nafsu semata. Si gadis yang comel, seksi dan bergaya itulah yang diutamakan.
Jika si dia kaya dan berdarjat lagi mahu. Soal akhlak, iman
dan alam diketepikan. Semasa memilih pasangan tidak terlintas soal anak. Bila
anak sudah lahir, anak menjadi mangsa kejahilan dan kebobrokan akhlak ibu.
Mereka lupa tanggungjawab wanita sebagai isteri dan ibu yang
berperanan untuk memelihara dan mendidik anak-anak menjaga kehormatan diri dan
menjamin keperluan rumahtangga yang mencukupi.
Bukan lelaki sahaja perlu mencari ibu yang betul untuk si
anak, malah para wanita juga perlu memilih bapa yang tepat untuk anaknya.
Wanita yang solehah perlu merancang memilih bapa soleh untuk anak-anak mereka.
Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi "Apabila datang kepada kamu
peminang (lelaki) yang engkau puas hati dengan agamanya dan kelakuannya,
maka kahwinilah dia". Betapa malangnya wanita mukminah yang jatuh ke tangan ketua
keluarga yang "thaleh" dan curang akhlaknya serta memandang enteng
prinsip-prinsip Islam dan ibadah-ibadah. Apalah gunanya anak-anak yang hidup
dalam keluarga yang terajunya tidak mengindahkan hukum dan seruan Allah.
Tegasnya, demi untuk zuriat yang bakal lahir, setiap pemuda
dan pemudi wajib merancang dengan baik dalam mencari bakal ibu dan bapa kepada
anak-anak. Jika gagal, tidak mustahil anak-anak nanti menjadi rosak dan
akhirnya menjadi derhaka kepada ibu dan ayah. Jangan jadi seperti yang
dikatakan oleh Sayyidina Umar: "Kamu telah menderhaka kepada anakmu, sebelum
anakmu menderhaka kepada mu..."
0 comments:
Post a Comment