Selagi kita manusia selagi itu kita berbeza. Islam
mengiktiraf perbezaan. Perbezaan bukan semestinya satu pertentangan.
Perbezaan adalah rahmat kerana sudut pandang yang berbeza
itu memberikan satu perspektif yang lebih holistik.
Setiap individu, kelompok… pasti ada titik butanya
masing-masing. Apa yang dilihatnya jelas, mungkin kabur pada pandangan orang
lain. Manakala ada yang dilihatnya kabur, jelas pula pada pandangan orang lain.
Dengan menggabungkan pelbagai sudut pandang, ufuk pandangan
kita akan lebih luas. Dan ini mengurangkan sikap prajudis dan ketaksuban.
Manfaatkan persamaan. Uruskan perbezaan. Apapun, adab dan
akhlak dalam berbeza pandangan itu sangat penting dan utama dipertahankan.
Adab itu lebih utama dipertahankan berbanding ‘perkara
ranting’ yang sedang dipertikaikan. Ramai orang yang bijak, tetapi masih
sedikit orang yang berakhlak. Hanya dengan kebijaksanaan dan kasih sayang kita
dapat mencari kebenaran… Jika tidak yang kita cari cuma kemenangan. Biar kalah
hujah, asalkan ‘menang’ akhlak. Justeru, selamanya manusia ’dont care how much you know untill the know
how much you care’.
Mudahnya sikap melabel, mempertikaikan akidah, malah hingga
ketahap meragui keislaman orang lain yang berbeza disiplin ilmu dengan kita,
seharusnya dapat dielakkan. Kekadang saya melihat, soal peribadi sudah
mengelabui soal prinsip. Agama di jadikan bukti hujah tetapi kedengkian
bersalut dunia itu jugalah yang menjadi motif utamanya. Bukan menuding orang
lain, tetapi satu muhasabah buat diri sendiri dan mengingatkan yang lain.
Pandanglah manusia lain dengan pandangan sayang. Semua
muslim bersaudara. Selagi bersaudara kita umpama satu jasad. Melukai hati
mereka samalah melukai diri kita sendiri. Sakitnya mesti terasa kerana saraf
iman kita sama. Iman itu akar, buahnya kasih sayang. Jika mereka bersalah sekalipun, mereka masih berhak
mendapat kasih sayang kita. Apatah lagi jika sekadar ‘ter’salah.
Kesukaran mendidik diri sewajarnya meningkatkan kesabaran
kita mendidik orang lain. Jangan kasar. Jangan marah. Perlembutkan bahasa,
lunakkan sentuhan… kemukakan hujah secara ilmiah dengan bujukan dan kemesraan.
Begitu Rasulullah saw mengajar kita. Yang benar, mesti diperjuangkan secara
yang benar juga. Kesalahan orang lain, jangan diledakkan di khalayak ramai
(termasuk laman sosial di internet) tanpa bersemuka dengan yang berkenaan
terlebih dahulu. Dan sebelum bersemuka, tanamkan dalam hati… aku berbuat
demikian demi kasih sayang dan cintaku kepada saudara muslim ku.
Siapa yang mencari kebaikan, akan bertemu kebaikan. Orang
yang baik berhak bertemu dengan orang yang baik sepanjang perjalanan hidupnya.
Sekalipun, dia bertemu dengan ‘orang yang jahat’ namun kebaikan jualah yang
akan dapat dirasai daripada kejahatan itu. Bukan soal siapa yang kita temui,
tetapi siapa kita ketika menemui mereka.
Bertemu dengan orang, seperti bertemu dengan makanan. Ada
makanan yang lazat, berzat dan berkat. Ada makanan yang tidak sedap, jangan
mencelanya. Tinggalkan dengan baik. Maka begitulah dengan kenalan mu. Jika
ternyata, mereka tidak dapat membawa kita menjadi lebih baik… tinggalkan.
Tetapi jangan memutuskan. Jarakkan diri, tetapi jangan mencelanya. Dia akan
bertemu dengan orang yang lebih baik daripada kita dan kita akan bertemu dengan
orang yang lebih baik daripadanya.
Insya-Allah, jika kita berani berbuat demikian, belenggu
yang mengikat hati dan diri kita akan terungkai. Kita akan terbang lebih tinggi
setelah belenggu itu terungkai. Dia pun akan melonjak lebih jauh tanpa kehadiran
kita di sisi. Begitulah, kekadang perpisahan itu lebih baik daripada pertemuan…
asalkan tidak ada permusuhan.
Apapun, sayangilah diri sebelum menyayangi orang lain…
kerana itu petanda kesempurnaan iman:
SAYANGI DIRI SEBELUM MENYAYANGI ORANG LAIN
“Ustaz, kerana sayang anak-anaklah saya jadi begini,”
kelohnya perlahan.
“Puan telah terkorban,” balas saya juga perlahan.
“Saya terkorban kerana berkorban.”
Saya diam. Perlahan-lahan saya renung keadaannya yang daif.
Kakinya yang membengkak. Badannya yang sembab. Mukanya yang pucat. Penyakit
tiga serangkai telah menyerangnya – darah tinggi, lemah jantung dan kencing
manis. Saya dijemput oleh suaminya untuk memberi sedikit-sebanyak nasihat bagi
menenangkan hatinya.
Saya masih ingat kata-kata suaminya, “Ustaz, tolong buat
sesuatu pada isteri saya. Dia dalam keadaan yang sangat murung. Hampir tidak
pernah senyum. Penyakitnya pun semakin berat. Dia perlukan keyakinan untuk
sembuh. Jika tidak… “
Tanpa banyak bertanya saya terus memberi persetujuan.
Sungguhpun kami berdua hanya kenalan jauh tetapi hajat seorang muslim terhadap
saudaranya menjadikan kami dekat. Dan petang ini, saya meluangkan masa untuk
bercakap-cakap dengan isteri yang berusia lewat 40’an ini.
“Puan, berkorban tidak semestinya terkorban…” pujuk saya
perlahan.
“Mengapa ustaz kata begitu?”
“Sekarang, puan mesti memiliki harapan dan keyakinan yang
tinggi untuk sihat,” kilas saya menangguhkan jawapan pada pertanyaannya.
“Entahlah… saya seolah-olah putus harapan. Macam manalah
anak-anak yang tinggalkan di rumah sekarang. Sudah dua bulan saya ditahan di
rumah sakit begini…”
Saya benar-benar simpati, malah empati melihatnya. Masih
terngiang-ngiang kata suaminya, “Ustaz, isteri saya sakit sebab terlalu banyak
berkorban untuk anak-anak. Sejak anak-anak masih kecil, siang malam dia memberi
tenaga, fikiran dan perhatiannya untuk membesarkan anak-anak. Risau dan
bimbangnya hanya untuk membesarkan anak-anak. “
“Lalu… kerana itu dia mengabaikan kesihatannya?” tanya saya
kepada suaminya.
“Ya. Bukan itu sahaja, dia langsung tidak pernah gembira
hanya untuk menggembirakan anak-anak. Kesihatan, pelajaran, makan-minum,
pakaian dan segalanya tentang anak-anak dijaganya dengan rapi. Tetapi makan-minumnya
sendiri terabai. “
Saya menggeleng-gelengkan kepala. Ini prinsip hidup
lilin…membakar diri untuk menerangi orang lain.
“Ustaz, apakah ada salah saya, hingga takdirnya saya
menerima nasib begini?” tanya ibu itu menyentap kembali perhatian saya kepadanya.
“Salah puan memang ada…” jawab saya.
“Salah saya?” dia tersentak. Riak mukanya semacam tidak
percaya.
“Puan seharusnya menyayangi diri dahulu sebelum menyayangi
orang lain,” jawab saya pendek.
“Bukan orang lain ustaz, anak-anak saya sendiri!”
“Sekalipun kepada anak sendiri.”
“Itu mementingkan diri namanya!”
“Tidak! Menyayangi diri sendiri untuk menyayangi orang lain
bukan mementingkan diri. Malah itulah sewajarnya kita lakukan,” pintas saya.
Nampaknya, saya telah ‘berjaya’ membuat dia melenting, marah dan memberi
respons. Itu bagus. Sekurang-kurangnya dia telah keluar daripada zon kemurungan
dan sindrom membisu yang dialaminya sekian lama.
“Mengapa demikian?”
“Hanya orang yang ada kasih sayang sahaja mampu memberi
kasih sayang. Logiknya, hanya orang yang ada wang, mampu memberi wang,” terang
saya.
Sekarang dia pula terdiam. Termenung agak lama. Saya biarkan
sahaja dia dengan fikiran dan perasaannya.
“Puan, sebenarnya hanya orang yang sihat sahaja dapat
menjaga kesihatan orang lain. Sekarang, cuba lihat… apabila puan sakit, siapa
yang hendak menjaga anak-anak puan di rumah? Padahal kalau puan sihat, puan
boleh menjaga mereka sekarang.”
“Saya tak faham ustaz, apa yang sedang berlaku sekarang.
Tolonglah jelaskan,” rayu wanita itu.
“Baiklah, mari kita fahami dahulu apa yang telah berlaku.
Kemudian kita cuba fahami apa yang sedang berlaku. Dan akhirnya, rancang apa
yang perlu kita lakukan nanti.”
Mendengar kata-kata saya dia mula mengubah posisi badannya.
Daripada berbaring kepada mengangkat badannya lantas bersandar di birai katil.
Alhamdulillah, itu petanda positif. Mengubah posisi fizikal adalah proses
merubah emosi dan minda. Bukankah untuk meredakan kemarahan kita dinasihatkan
agar menukar posisi badan?
“Apa yang telah berlaku dahulu adalah satu kesilapan. Puan
seharusnya menjaga kesihatan badan, fikiran, perasaan dan jiwa semasa mengasuh,
mendidik dan menjaga anak-anak.”
“Maksudnya ustaz?”
“Jaga diri puan dahulu sebelum menjaga anak-anak. Maksudnya,
puan perlu menjaga kesihatan jiwa dan badan puan. Itu bukan pentingkan diri.
Tujuan kita sihat ialah agar mampu menjaga kesihatan orang lain. Sayangnya,
puan telah tersilap, puan terlalu menjaga anak-anak sehingga mengabaikan
kesihatan sendiri. Akibatnya, puan jatuh sakit… dan sekarang anak-anak terabai!
”
Saya teringat kata-kata seorang pakar pendidikan, Sebenarnya
orang yang mengabaikan kesihatan diri adalah orang yang paling mementingkan
diri sendiri.” Ketika ditanya mengapa, beliau berkata,”Sebab apabila dia sakit,
orang lain yang terpaksa menjaga dirinya. Sebaliknya, orang yang menjaga
kesihatan diri… akan sihat. Apabila dia sihat, dia mampu menjaga orang lain
yang sakit!”
“Betul juga kata ustaz, sekarang, anak-anak saya terabai dan
saya sendiri pun sakit. Rugi-rugi…”
“Yang sudah, sudahlah. Kata bijak pandai, sebaik sahaja
mengambil pelajaran daripada kesilapan semalam, ayuh kita lupakan. Fokus kepada
hari ini. Sekarang mari kita memahami realiti terkini… Apa yang sedang berlaku
sekarang?”
“Saya sedang sakit…”jawab ibu itu.
“Tidak, puan sedang dirawat untuk sihat!”
“Maksud ustaz?”
“Puan mesti bersangka baik dengan Allah dan bersangka baik
dengan diri sendiri. Katakan pada diri, aku layak untuk sihat kembali.
InsyaAllah, Allah akan berikan kesembuhan itu.”
Dia diam. Mukanya tunduk. Saya menambah kata,”Puan mesti
sihat kerana puan memang sayangkan diri puan. Puan mesti sayangkan diri puan
untuk menyayangi anak-anak puan. Itulah niat dan semangat yang perlu ada dalam
diri puan sekarang. Inilah langkah terbaik untuk memulakan hari ini bagi
menghapuskan kesalahan semalam.”
“Ustaz, saya akan sembuh?”
“Yakinlah pada bantuan Allah. Penyakit lahiriah ini akan
mudah ditangani jika hati dan jiwa kita terlebih dahulu diubati. Tanamkan
keyakinan, harapan dan sangka baik kepada Allah. Ujian sakit ini sebenarnya
untuk tujuan itulah… bagi mengingatkan kita agar kembali kepada Allah. Kembali
merintih, berharap dan mengadu kepadaNya.”
“Ustaz, tolong doakan agar saya nampak hubungan antara kasih
sayang terhadap diri, manusia dan Alllah…”
“Puan, saya pun senasib dengan puan. Masih mencari-cari
hakikat kasih sayang Allah. Namun, setakat ini apa yang saya tahu, kita tidak
mampu menyayangi manusia lain selagi kita belum menyayangi diri sendiri. Dan
kita tidak akan mampu menyayangi diri sendiri sebelum menyayangi Allah!”
0 comments:
Post a Comment