Tuesday, September 24, 2013

~*Yang namanya hati*~




Hati manusia bersifat tidak konsisten. Ada waktu, hati berasa sangat kasih dan sayang, kemudian dalam sekelip mata, boleh bertukar menjadi benci yang mendalam. Bertambah dan berkurang. Tenang dan bergelombang. Seketika ada, sebentar menghilang. Bergantian.

Justeru, dalam soal ketaatan dan keimanan, seorang ustaz pernah mengajarkan saya sepotong doa yang indah untuk diulang-ulang setiap hari.

"Allahumma ya muqallibal qulub, thabbit qalbi 'ala deenik, wa 'ala to'atik."

"Wahai Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku dalam agama-Mu, dan dalam ketaatan kepada-Mu."

Kerana hati yang berbolak balik, ada ketikanya kita akan berasa kita ini malang. Tidak beruntung dan bahagia seperti kebanyakan orang. Mengapa kita dapat itu, tidak dapat ini, mereka ada itu, mereka ada ini. Oh... Di manakah keadilan?

Hakikatnya, kita selalu nampak pelangi di atas kepala orang, sedangkan pelangi itu juga ada di atas kepala kita.

Bahkan adakala, saat kita asyik diulit nikmat, kita akan berkata kepada orang susah, "Kasihan dia diuji," sedangkan hakikatnya kitalah yang sedang diuji Tuhan dengan kurniaan dan kenikmatan.

Apabila kehidupan dipandang daripada mata hati yang negatif, itu petanda bahawa kita ini sedang sakit emosi. Apa ubatnya? Kembali mencari Allah agar Dia jaga hati kita, selamatkan kita daripada resah dan kekalutan jiwa yang tiada kewajaran. Jalannya, sungguh pelbagai. Solat, Al-Qur'an, doa, sedekah, dan segala amal yang mulia.

Kuncinya, berbuat baik, agar imbalannya kelak Allah akan jaga hati kita agar sentiasa taat dalam keimanan.

Hatta dalam rumahtangga pun begitu. Suami isteri tidak mampu menjamin kesetiaan hati pasangan agar kasih tidak berpaling tadah. Hanya Allah yang memegang hati, namun tetaplah pada tangan suami isteri itu ada usaha, seiring doa.

Antaranya, peluk pasangan, peluk anak-anak. Apabila peluk, ada bisikan kalbu, wujud hubungan jiwa. Kasih naik ke hati. Otak rasa lapang. Muka jadi muda. Ajaibnya kasih sayang dalam ketakwaan.

Sentuhan dari hati nyata punya aura dan telepati. Sentuhan itu akan menghadirkan perasaan lega pada jiwa, kerana ia merupakan bahasa jiwa tanpa kata-kata.


Sungguh, ajaibnya cerita hati.


-Source: Fb Azizah Aling-


0 comments:

Post a Comment

Elegant Rose - Double Heart